Tuesday, August 19, 2014

Itulah hidup. Kita tidak akan berada di satu garis lurus yang sama.

Itulah hidup. Kita tidak akan berada di satu garis lurus yang sama.



"Saya sudah lama tidak aktif di FB ini. Semalam saya belek-belek FB kenalan-kenalan lama. Ada yang masih bisnes yang sama, ada yang sudah ubah haluan, ada yang dulu banyak cerita gembira tetapi sekarang gembira campur duka, ada yang sudah berpindah tempat tinggal, ada yang sudah tukar kerja, ada yang sudah meninggal dunia, ada yang sudah tidak ada FB dan macam-macam lagi.

Itulah hidup. Kita tidak akan berada di satu garis lurus yang sama." - Smartzul.

------------------------------

Kehidupan yang pernah kita kenal adalah kehidupan masa lalu. Kehidupan masa akan datang tiada siapa yang tahu. Kita hanya mampu merancang dan Allah s.w.t yang Maha Berkuasa dan Maha Menentukan.

Saya bermula dengan perniagaan internet pada tahun 2006 antara blog yang saya ikut masa tu, blog Smartusaha.com, Mohdsuhaimy.com, Saifulsham.com, IrfanKhairi.com dan banyak lagi.

Ada yang blog mereka kekal sehingga ke hari ini dan ada juga yang sudah bertukar platform, nama dan ada juga yang pupus dibawa angin lalu.



Kebanyakan usahawan internet yang saya kenali mempunyai blog dengan tema mereka sendiri. Ada yang menulis mengenai topik keusahawanan, motivasi, kewangan, hobi, seni, teknologi dan ada juga blog kacang putih (macam-macam topik ada).

Apa yang Smartzul kongsi dan tulis di wall facebook beliau itu ada benarnya.

Ramai usahawan internet yang saya kenal kini dah banyak yang buat model bisnes yang lain. Sebagai contoh, saudara Ammar Zahar dulu menjalankan bisnes ebook dan affiliate. Kini beliau menerbitkan buku dan mengadakan seminar dan bengkel perniagaan internet.

Salah seorang pemilik blog Saifulsham.com kini sudah beralih ke bidang hartanah. Beliau mengendalikan perniagaan keluarga dengan projek-projek perumahan sekitar pantai timur.

Saudara Irfan Khairi yang dahulu banyak mengadakan bengkel perniagaan internet kini memberi fokus sebagai pensyarah untuk program diploma di sebuah universiti swasta disamping menjadi dj radio dan penceramah di televisyen.

Rakan-rakan penjual di eBay yang saya kenal, ramai juga yang hari ini berkecimpung dalam bidang hartanah, saham dan forex.

Ada yang buat bisnes menjadi, ada yang karam dilautan. Ada juga yang kembali bekerja makan gaji.

Alhamdulillah, ramai yang telah berjaya dan ada juga yang bergelar jutawan hasil bisnes jualan produk di internet, hartanah, saham dan forex.

Ya, itulah kehidupan. Kita tidak akan berada di satu garis lurus yang sama. Sampai satu peringkat kita semua berada di garisan-garisan yang berbeza.

Semoga kita semua dapat memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.

Whatsapp Button works on Mobile Device only

Start typing and press Enter to search