Anggaplah Kerugian sebagai Pembelajaran

Kisah ini dipetik dari buku  "Kuasa Hijrah Kuasa Untuk Berubah" mukasurat 70 dan 71.

Daripada Engku Azri, anggaplah kerugian sebagai bayaran kursus pembelajaran.

Pernahkah anda kehilangan wang ataupun barangan berharga? Pernahkah anda rugi sesuatu urusniaga? Bagaimana anda rasa? Kecewa? Sedih?

Saya ada seorang teman (dan mentor) yang mempunyai prinsip-prinsip hidup yang menakjubkan. Beliau adalah Engku Azri, Engku seorang perunding bina insan dari One Step Management. Di sini, saya ingin berkongsi satu petua menarik daripada beliau.

Dalam dunia bisnes, beliau beberapa kali ditimpa musibah. Antaranya adalah, kecurian wang sebanyak RM30,000 secara tunai selepas mengeluarkannya di bank bagi pembayaran gaji pekerjanya. Yang lebih tragis, beliau kerugian hampir RM1,000,000 kerana tidak mendapat pembayaran daripada pihak yang sepatutnya, walaupun kerja-kerja yang dipersetujui disempurnakan oleh beliau.

Saya bertanya, "Tidak serikkah buat bisnes? Sudah rugi dekat sejuta?" Engku Azri tersenyum dan segera menjawab.

"Kalau saya serik, maka saya berhenti. Saya hendak tanya awak. Adakah berbaloi saya berhenti selepas rugi satu juta? Berbaloi?" Nampak dia begitu ghairah dengan idea tersendiri.

"Kalau saya berhenti, sia-sialah kerugian saya sebelum ini. Apa yang sepatutnya saya buat adalah, belajar daripada kesilapan, perbaiki strategi, dan teruskan dengan momentum yang baru. Anggaplah jumlah yang kita hilang itu umpama bayaran 'kursus pembelajaran' yang intensif. Satu kursus yang istimewa, sebab ia bukan secara teori, tetapi secara praktikal." Saya mendengar dengan tekun.

"Apa guna belajar masuk universiti, tetapi menganggur? Apa guna ditimpa musibah, tetapi kita tidak belajar daripadanya?" Saya mengangguk-angguk tanda bersetuju dengan idea beliau.

-----------------------------------------------------------------------

Berapa ramai diantara kita belajar sesuatu daripada kesilapan lalu? Berapa ramai diantara kita belajar sesuatu daripada kesilapan orang lain?

Orang yang ego, sombong, berlagak macam bagus biasanya enggan belajar daripada setiap kesalahan yang dilakukannya. Anda pula bagaimana?

Jumpa lagi,

Noorizam Shah
http://fb.com/noorizamshah

Anda mungkin berminat

motivasi

Noorizam Shah

Jom follow saya di media sosial. Klik icon dibawah