Friday, January 18, 2019

Bahaya Sildenafil dalam produk peningkat tenaga batin

Bahaya Sildenafil dalam produk peningkat tenaga batin



Netizen yang aktif dalam media sosial facebook pasti ada terlintas dengan iklan berunsur lucah menjual produk peningkat tenaga batin yang menjanjikan kepuasan tahap tertinggi ketika bersama isteri dan berjaya mengembalikan tenaga batin atau menambah tenaga batin. 
Rata-rata si penjual yang menyatakan bahawa produk jualan adalah suplemen berunsur herba atau makanan tambahan atau minuman kesihatan dan tidak perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Namun sejauh mana kebenaran tuntutan mereka ini? Adakah benar bahan herba ini menjanjikan kesan peningkatan tenaga batin atau sebenarnya telah ditambah dengan ubat seperti Sildenafil?

Sehingga kini, terdapat lebih 50 produk yang dikesan KKM mengandungi atau dicemari dengan ubat sildenafil. Kebanyakkan produk ini adalah diklasifikasikan sebagai makanan atau minuman. Pengeluar produk-produk ini sengaja mengeluarkan produk mereka dalam bentuk makanan atau minuman kerana tidak mahu berdaftar sebagai ubat dengan KKM.

Senarai produk yang dikesan mengandungi Sildenafil atau Analog Sildenafil boleh disemak di laman sesawasang http://www.pharmacy.gov.my/v2/ms/apps/adulterated. Selain daripada sildenafil, produk-produk dalam senarai juga mungkin dicemari bahan-bahan racun (ubat terkawal) yang lain seperti Taladafil, yang mempunyai fungsi yang sama.

Sildenafil sebenarnya adalah sejenis ubat yang tergolong dalam kumpulan farmakologi Phosphodiesterase 5 (PDE5) yang merupakan ubat pertama diluluskan untuk merawat masalah gangguan ereksi atau mati pucuk dalam kalangan lelaki dewasa.

Penemuan sildenafil sebagai ubat mati pucuk adalah secara tidak terancang. Sildenafil pada asalnya dibangunkan oleh syarikat inovator untuk rawatan penyakit tekanan darah tinggi dan sakit jantung. Semasa ujian klinikal, penyelidik mendapati bahawa ubat tersebut lebih berkesan untuk mengatasi masalah gangguan ereksi daripada rawatan sakit jantung. Oleh itu pada tahun 1998, Food and Drug Authority (FDA) Amerika Syarikat telah meluluskan sildenafil sebagai ubat untuk rawatan mati pucuk.

Sildenafil hanya boleh diberikan kepada pesakit oleh seorang doktor atau ahli farmasi berlesen dengan preskripsi (surat ubat daripada doktor). Ubat sildenafil ini hanya boleh didapati melalui pemeriksaan doktor adalah kerana kesan sampingnya terhadap fungsi jantung yang boleh membahayakan kesihatan malah boleh membawa maut kepada pesakit jika diambil tanpa pengawasan.

Namun, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab yang hanya ingin mengaut keuntungan telah mencampurkan produk-produk keluaran mereka dengan ubat sildenafil ini. Tujuan mereka melakukan tindakan seperti ini adalah untuk meyakinkan pengguna bahawa produk jualan mereka benar-benar berkesan. Hakikat sebenarnya, ia adalah suatu penipuan kerana yang memberi kesan adalah ubat sildenafil yang ditambah secara senyap dan bukannya kesan daripada campuran bahan-bahan herba dalam produk jualan mereka.

Peningkatan penghasilan jenama dan produk-produk baru menunjukkan kegiatan ini berupaya memberikan keuntungan yang besar kerana ia masih mendapat permintaan daripada masyarakat. Tuntutan palsu mereka yang kononnya keluaran mereka bersumberkan herba atau bahan-bahan asli di samping pembungkusan illustrasi yang kreatif memang mudah untuk mempengaruhi dan mengaburi mata orang ramai, terutama dalam golongan masyarakat yang kurang maklumat berkaitan produk-produk berbahaya ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius masalah isu penjualan ubat-ubatan tidak berdaftar dan bahan terlarang di pasaran. Bahagian Perkhidmatan Farmasi (BPF), KKM sentiasa komited dalam usaha mengawal, membanteras dan memerangi isu penjualan produk-produk seperti ini.

Aktiviti-aktiviti pendidikan pengguna seperti Kempen Kenali Ubat Anda juga adalah salah satu inisiatif KKM dalam mendidik masyarakat sebagai usaha menangani isu ini. Aktiviti kempen menekan aspek kesedaran pengguna dalam penggunaan ubat secara rasional dan berkualiti melalui ceramah, pameran dan dialog. Selain daripada itu, BPF, KKM turut aktif dalam menyebarkan maklumat melalui media massa seperti wawancara di televisyen dan radio, serta berkongsi maklumat di media sosial.

Pengguna digalakkan untuk menyemak status pendaftaran produk kesihatan di laman web Bahagian Perkhidmatan Farmasi, www.pharmacy.gov.my atau Agensi Regulatori Farmaseutikal Negara, http://npra.moh.gov.my/.Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan perkara ini di laman sesawang rasmi Kempen Kenali Ubat Andai www.knowyourmedicine.com atau menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy call Centre NPCC) di talian bebas tol 1800-88-6722.

Disediakan Oleh
Intan An-nisaa’ Ismaill,
Pegawai Farmasi
Jabatan Kesihatan Wilayah Perseketuan Kuala Lumpur & Putrajaya


---------------

Petikan di atas di ambil dari sebuah keratan akhbar tahun 2016. Sekarang dah masuk 2019. Walaupun dah banyak kali diingatkan kepada pengguna, tetapi ramai yang masih tak ambil peka mengenai mudarat mengambil produk yang mengandungi sildenafil tanpa kawalan.

So hati-hati bila jumpa macam-macam iklan kat media sosial seperti facebook, blog, instagram, youtube, google.

Jangan sebab nak best sekejap, merana kemudian hari.

Pastikan beli produk yang berdaftar dengan KKM dan ada hologram meditag serta sentiasa semak di laman web NPRA untuk kepastian

Whatsapp Button works on Mobile Device only

Start typing and press Enter to search